PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
menyeru negara jiran wilayah Gaza meningkatkan usaha bagi membantu warga
Palestin yang terkesan akibat pencerobohan Israel.
Beliau juga menggesa Mesir membenarkan wanita dan
kanak-kanak di Gaza mendapat perlindungan di sempadan negara tersebut, ketika
golongan lelaki Palestin berada di wilayah bergolak itu bagi mempertahankan
tanah air mereka daripada kekejaman Israel.
“Saya terkilan kerana kebanyakan negara jiran dengan Gaza
enggan menerima pelarian Gaza. Saya berpendapat ia tidak adil dan tidak
berperikemanusiaan kerana ini sebagai perlindungan kepada pelarian yang
melarikan diri daripada penindasan,” katanya pada sidang media Hentikan Sekatan
Bantuan Kemanusiaan ke Gaza di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli
Wahijan dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd
Azmi Abdul Hamid.

Dr Mahathir turut mengecam tindakan AS menggunakan kuasa
veto untuk menyekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menghantar
pasukan pengaman ke Gaza.
Selain itu, beliau mahu Israel menyerahkan konflik yang
berlarutan sejak 75 tahun lalu kepada mahkamah antarabangsa untuk membuat
keputusan.
Sementara itu, Zulkifli mahu lintasan sempadan Rafah dibuka
sepenuhnya bagi membenarkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan
pasukan perubatan ke Gaza.
Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersatu
dalam tekad untuk memastikan pasukan pengaman boleh dihantar untuk memulihkan
keadaan di Gaza.

