GERAKAN boikot produk dan jenama yang menyokong Israel
kembali bergema. Usaha itu dilihat begitu rancak dan agresif apabila ramai
orang yang mempromosikan kempen itu di media sosial masing-masing.
Kempen boikot itu dilakukan oleh kalangan rakyat yang enggan
membeli produk atau daripada syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Israel
susulan kekejaman rejim itu ke atas penduduk Palestin.
Sinar Islam ingin menyatakan pendirian bahawa kami teguh
menyokong perjuangan rakyat Palestin kerana ia melibatkan isu kemanusiaan.
Ketika artikel ini ditulis, angka korban akibat serangan
tentera penceroboh Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu sudah mencecah
10,022 orang dan mencederakan lebih 25,000 yang lain.
Melihat jumlahnya yang kian meningkat dan tiada tanda-tanda
gencatan senjata dipersetujui oleh Israel, ramai yang mengambil tindakan
memulaukan produk atau syarikat yang menyokong rejim itu kerana berpandangan,
ia solusi ampuh melumpuhkan ekonomi mereka.
Namun begitu, di sebalik ‘peperangan’ itu, ada segelintir
orang yang turut terjejas sumber pendapatannya.
Tindakan memboikot produk yang kononnya ada hubung kait
dengan ekonomi Israel itu adalah pilihan peribadi.
Kalau sampai mencemuh mereka yang bekerja di restoran atau
syarikat tertentu, itu bukan wajar menjadi amalan, apalagi diteladani orang
lain.
Bagaimanakah panduan atau etika dalam menjayakan strategi
boikot tersebut menurut Islam?
Kalau sampai mencemuh mereka yang bekerja di restoran atau
syarikat tertentu, itu bukan wajar menjadi amalan, apalagi diteladani orang
lain.
Bagaimanakah panduan atau etika dalam menjayakan strategi
boikot tersebut menurut Islam?
Hukum terlibat dalam boikot
Sinar Islam merujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah bagi mendasari perkara itu.
DR LUQMAN
Dari segi hukum, jelas beliau, gerakan boikot perlu dilihat
mengikut keadaan. Adakalanya tindakan itu boleh menjadi wajib sekiranya produk
atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk
membunuh umat Islam.
“Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi
wajib sebagaimana kaedah ‘Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan
dengannya, maka ia juga wajib’,” katanya.
Dr Luqman menjelaskan, boikot merupakan salah satu bentuk
jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau
pihak yang menyokongnya.
Justeru beliau menyarankan supaya kita berjihad dengan kadar
kemampuan masing-masing.
Ia sebagaimana disebut dalam firman ALLAH SWT: “Hendaklah
orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah at-Talaq, ayat 7)
“Walaupun ayat itu menjelaskan tentang nafkah untuk wanita
yang sedang beridah dan ibu menyusu, namun Syeikh Tahir bin Asyur menyatakan,
ia turut terpakai kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang Muslim waima
wajib atau sunat iaitu berikan infak mengikut kemampuan.