KUALA LUMPUR:
Lapan individu memfailkan saman RM60 juta terhadap kerajaan Malaysia dan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendakwa vaksinasi COVID-19 telah
menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan yang teruk.
Tuntutan saman
sivil itu dikemukakan terhadap 25 defendan melalui tindakan saman berkumpulan
difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23
Oktober lalu.
Antara plaintif
adalah seorang doktor mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana
mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu, selain seorang anak
lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab
sama.
Individu lain
ialah lelaki yang isterinya didakwa meninggal dunia selepas mengambil dos satu
dan dua vaksin, selain seorang pekerja pembersihan rumput yang mendakwa tidak
pernah galami masalah kesihatan sebelum diarahkan majikannya dan kerajaan
mengambil dos satu dan dos dua vaksin.
Antara 25
defendan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua
Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech
Ltd.
Defendan lain
termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri
Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Adham Baba, selain Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Plaintif
mendakwa WHO dan Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat
pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik COVID-19 pada 11
Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk
Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Mereka
membuat usul palsu dan mengelirukan mengenai wabak COVID-19," menurut
kumpulan itu sambil mendakwa wabak itu sebenarnya senjata biologi buatan
manusia yang dicipta di makmal dan sengaja dibuat untuk menyerupai selesema
bermusim.
Plaintif juga
mendakwa, hanya vaksin eksperimen bertoksik disyor digunakan untuk menangani
pandemik yang didakwa mereka sebagai palsu itu.
"Semua
defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal
dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan COVID-19 dan keselamatan
vaksin eksperimen bertoksik ini," menurut kumpulan itu dalam saman
berkenaan.
Mereka turut
mendakwa, defendan pertama (D1) yang merujuk Muhyiddin, bukan sahaja menerima
pandemik palsu tanpa penyiasatan dan pemeriksaan yang betul, tetapi juga
melaksanakan PKP.
Dakwa mereka
lagi, defendan menggunakan pengaruh tidak adil, penipuan, salah pernyataan,
penindasan fakta dan kekurangan pendedahan sepenuhnya untuk mendapatkan
persetujuan orang ramai bagi apa yang mereka gambarkan sebagai vaksin
eksperimen bertoksik.
Sebab itu,
kumpulan terbabit mendakwa, rakyat Malaysia, termasuk mereka menandatangani
borang persetujuan tanpa diberi maklumat yang sepenuhnya.
Justeru,
plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa COVID-19 adalah palsu,
pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema
bermusim.
Mereka juga
meminta deklarasi mahkamah untuk memaksa Malaysia menarik diri daripada menjadi
anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta menuntut ganti rugi am, khas
dan teladan.
BH sedang
berusaha mendapatkan maklum balas Pejabat Peguam Negara (AGB) mengenai saman
berkenaan.
-BERITA HARIAN-